Mayat kanak-kanak lelaki lima tahun yang hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit, Terengganu, ditemukan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian
KUALA TERENGGANU: Mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang hilang selepas dihanyutkan ombak di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus pada Jumaat lepas telah ditemukan kira-kira jam 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mayat Muhammad Zarif Hazahari ditemui oleh pasukan penyelamat terdampar di atas pasir.
Beliau berkata lokasi penemuan mayat itu adalah kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian asal.
Mayat anak kelima daripada enam beradik itu kemudian dibawa naik oleh anggota penyelamat dengan bantuan penduduk setempat.
“Operasi selama dua hari berjaya menemukan jasad Muhammad Zarif Hazahari yang terdampar di atas pasir Pantai Batu Rakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati dan tidak menghampiri kawasan laut atau air semasa musim Monsun Timur Laut yang belum berakhir.
Dalam kejadian pada Jumaat lepas, Muhammad Zarif dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak ketika membasuh kaki di pantai.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.43 petang ketika dia keluar bersiar-siar bersama ibu saudara dan dua sepupunya.








