Saturday, November 8, 2025
26.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

MBSA cadang perluas program sukan rakyat ke peringkat daerah

Bernama

MBSA cadang program sukan rakyat diperluas ke peringkat daerah Selangor selepas sambutan menggalakkan dengan kehadiran Raja Muda Selangor.

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencadangkan Program Sukan Rakyat diperluas ke peringkat daerah di Selangor bagi menghidupkan semula warisan sukan tradisional.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata cadangan itu dibuat selepas program sempena Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat mendapat sambutan menggalakkan.

Keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan pasangan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz turut menyumbang kepada kejayaan program tersebut.

BACA: Kerajaan beri sokongan padu pembangunan sukan seiring kemajuan negara

“Sambutan hari ini sangat menggalakkan dan menerima reaksi positif daripada semua pihak termasuk Raja Muda Selangor,” katanya kepada pemberita.

Mohd Fauzi menyatakan baginda turut berpendapat sukan rakyat ini perlu dihidupkan di peringkat daerah.

Beliau berkata MBSA telah berbincang dengan pihak istana mengenai penganjuran kejohanan sukan rakyat secara lebih tersusun.

Cadangan termasuk mengadakan liga bagi beberapa acara tradisional seperti bola sepak berkain pelekat.

Pemenang pertandingan di peringkat daerah berpeluang bertanding pada perlawanan akhir di padang istana sebagai penghormatan.

“Jika dilaksanakan, penganjuran menggunakan konsep kejohanan bola sepak luar negara yang menetapkan perlawanan akhir di padang utama,” jelasnya.

Perlawanan akhir dirancang diadakan di istana sebagai simbolik pengiktirafan terhadap warisan sukan rakyat.

Cadangan berkenaan akan dibincangkan bersama Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Rizam Ismail.

Perbincangan juga melibatkan pihak berkaitan lain bagi pelaksanaan lanjut program tersebut.

Program hari ini berjaya menarik minat lebih 1,500 orang peserta.

Peserta terdiri daripada kakitangan jabatan, komuniti setempat dan wakil-wakil daerah di Selangor.

Program Sukan Rakyat merangkumi beberapa acara permainan tradisional seperti congkak, galah panjang, batu seremban dan sepak raga. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img