the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, January 13, 2026
21.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

MCMC ambil tindakan undang-undang terhadap X dan xAI berhubung Grok

MCMC ambil tindakan undang-undang terhadap X Corp dan xAI LLC susulan kegagalan mereka kawal kandungan berbahaya dijana oleh Grok di Malaysia

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC, susulan kegagalan mereka memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan bermula dalam masa terdekat.

“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau dan imej manipulasi tanpa persetujuan.

“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan. Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” menurut kenyataan MCMC.

Difahamkan notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Jan, yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang namun tiada tindakan pemulihan diambil.

Menurut kenyataan MCMC, X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan, walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.

“Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan dan langkah mitigasi risiko bagi Grok. Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi.

“MCMC mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri. Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” menurut kenyataan MCMC.

Menurut MCMC, ia kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam serta mengingatkan semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendak mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia berkaitan.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories