MCMC merampas lebih 10,000 peranti komunikasi tidak diperakui bernilai RM1 juta dalam operasi di Selangor, dengan siasatan berterusan terhadap syarikat terlibat.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merampas 10,112 unit peralatan komunikasi disyaki tidak diperakui.
Barang rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta itu diambil dalam Op Optik di Klang dan Petaling Jaya, Selangor.
Pemeriksaan selama 19 jam itu dijalankan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik MCMC dan SIRIM.
Seramai 69 pegawai terlibat dalam operasi terhadap sebuah syarikat yang beroperasi di kedua-dua lokasi tersebut.
Syarikat itu dipercayai terlibat dalam penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal.
Antara peralatan yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar, komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.
MCMC turut mendapati aktiviti pemasaran dan penjualan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.
Sebanyak 40 individu telah diambil keterangan awal manakala sembilan Notis Kehadiran telah dikeluarkan.
Notis itu ditujukan kepada pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan.
Mereka diarah menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.
MCMC memaklumkan penggunaan peralatan tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna.
Ia juga boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan.
Kes ini disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Tindakan itu bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna.








