MCMC siasat penyalahgunaan AI di platform X untuk hasil kandungan memudaratkan, akan panggil wakil platform dan pengguna disyaki.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X.
Suruhanjaya itu akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai penyalahgunaan alat kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan memudaratkan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius aduan orang awam mengenai penyalahgunaan AI di platform X.
Ia khususnya melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.
“Penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM),” menurut kenyataan itu.
Akta itu antara lain melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang.
MCMC akan memulakan siasatan terhadap pengguna X yang disyaki melanggar AKM.
Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), semua platform dalam talian serta penyedia perkhidmatan berlesen diwajibkan mengambil langkah pencegahan.
Langkah itu bagi mengekang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
“Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, platform itu tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Platform X juga bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan.
MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang Malaysia.
Ia termasuk pematuhan terhadap piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej.
Orang ramai dan mangsa yang terkesan dinasihatkan supaya melaporkan kandungan memudaratkan itu kepada platform terlibat.
Mereka juga digesa membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian suruhanjaya itu.








