Enam projek kemudahan kesihatan di Melaka diluluskan di bawah RP1 RMK13, termasuk klinik baharu dan blok tambahan hospital, bernilai RM393 juta
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menerima kelulusan untuk enam projek berkaitan kemudahan kesihatan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata projek pertama ialah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Cheng dengan kos RM43.567 juta.
Klinik baharu itu akan menggantikan fasiliti sedia ada yang tidak lagi dapat menampung kehadiran pesakit sehingga 1,000 orang sehari.
“Antara komponen projek ini ialah penambahan perkhidmatan dengan kepakaran Perubatan Keluarga seperti Perkhidmatan Pesakit Luar, Kecemasan (A&E) 24 jam, Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Pergigian, Makmal, Farmasi dan X-Ray,” jelasnya.
Klinik kesihatan sedia ada akan ditukar fungsi menjadi Unit Rehabilitasi, Klinik Warga Emas dan Klinik Pencegahan Ketagihan (OSCA) selepas projek baharu siap.
Ngwe Hee Sem berkata demikian kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri.
Beliau turut memaklumkan peruntukan RM500,000 diluluskan bagi kerja-kerja awalan untuk Blok Tambahan Hospital Jasin.
Kerja awalan itu melibatkan siasatan tanah, penyediaan Penilaian Kesan Alam Sekitar, reka bentuk dan pemetaan utiliti.
“Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Jasin dimohon dengan kos RM305 juta pada RP1 RMK13,” katanya.
Skop projek itu merangkumi sebuah blok yang mengandungi wad pembedahan, wad rehabilitasi, Unit Rawatan Rapi, Dewan Bedah, Radiologi dan Klinik Pakar.
“Kerja-kerja awalan perlu dilaksanakan bagi mengelak kelewatan memulakan projek, terutamanya projek pembangunan hospital baharu atau blok tambahan yang mempunyai tahap kompleksiti tinggi,” tambahnya.
Projek ketiga ialah Kerja Awalan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Melaka Tengah dengan peruntukan RM500,000 daripada jumlah kos projek RM45 juta.
Projek keempat membabitkan naik taraf kemudahan hemodialisis di Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) Melaka dengan kos RM230,000.
Projek kelima ialah perolehan kenderaan dan peralatan bagi tiga pasukan Pergigian Bergerak Melaka bernilai RM1.35 juta.
Pasukan itu akan beroperasi di Klinik Pergigian Ujong Pasir, Durian Tunggal dan Selandar.
“Projek terakhir membabitkan Perolehan X-Ray Blood Irradiator di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka bernilai RM2.5 juta,” jelas Ngwe Hee Sem. – Bernama







