Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ucap takziah atas pemergian Ketua Radio Bernama Azlan Idris, 57, yang meninggal dunia di HKL awal pagi tadi
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Radio Bernama Azlan Idris yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada sahabat handai Allahyarham khususnya di Bernama dalam catatan di Facebook.
“Saya turut bersedih dan merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham Wan Syahrina Wan Ab Rahman yang merupakan pengacara dan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV,” tulisnya.
Fahmi menambah segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam industri penyiaran akan sentiasa dihargai.
Azlan, 57, merupakan antara individu terawal yang menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen radio tersebut.
Allahyarham juga melakar strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio ketika industri penyiaran berdepan tekanan hebat.
Beliau pernah berkhidmat di stesen televisyen TV3 dan NTV7 sebelum ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta empat anak.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak kira-kira pukul 11 pagi ini.
Upacara pengebumian akan dilakukan selepas jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau berharap keluarga tabah menghadapi ujian tersebut.
Menerusi catatan di Facebook, Dzulkefly berkata beliau secara peribadi melihat pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dunia penyiaran negara.
Beliau berkata Allahyarham bukan sahaja ‘suara’ di sebalik tabir, malah antara tunjang utama yang membina Bernama Radio sejak 2007.
Dedikasi beliau mencorakkan hala tuju radio berita negara akan sentiasa dikenang.
“Saya doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.








