Kementerian Kewangan menafikan mesej WhatsApp tular tawaran bantuan STR dan SARA RM600 untuk bujang, menasihati orang ramai agar hanya merujuk saluran rasmi untuk maklumat sahih.
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa mesej WhatsApp tular berkaitan permohonan dan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM600 bagi kategori bujang adalah palsu.
MOF memaklumkan tiada sebarang permohonan atau bayaran bantuan STR dan SARA dibuat melalui WhatsApp.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuka pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi dengan pihak tidak dikenali.
“Untuk maklumat sahih dan terkini, sila rujuk saluran rasmi MOF sahaja,” menurut kementerian itu menerusi hantaran di laman X rasmi.
Terdahulu, tular satu pesanan palsu di WhatsApp bertajuk ‘STR Bujang 2026 – Permohonan & Bayaran Bantuan SARA RM600 Untuk Yang Layak’.
Penyaluran STR Fasa 1 bagi tahun ini yang bermula semalam melibatkan peruntukan RM1.1 bilion.
Bantuan itu memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan.
Sementara itu, SARA bulanan berjumlah RM50 hingga RM200 disalurkan bermula 9 Jan lepas kepada 8.1 juta penerima.
Penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah, 3.1 juta penerima kategori bujang dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.








