Kementerian Pertahanan berikrar kerjasama penuh dengan SPRM bagi siasatan rasuah, fokus kepada memperkukuh tadbir urus dan prosedur perolehan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam semua siasatan berkaitan rasuah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Wisma Pertahanan.
Kunjungan itu mencerminkan komitmen bersama bagi memperkukuh integriti serta tadbir urus.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai penambahbaikan tatacara perolehan sedia ada.
Tujuannya adalah bagi pelaksanaan yang lebih berkesan dan bebas daripada risiko rasuah dan salah guna kuasa.
Mohamed Khaled berkata SPRM turut bersetuju menawarkan khidmat nasihat untuk memperkukuh tadbir urus perolehan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menegaskan persefahaman itu penting dalam memenuhi tekad membanteras rasuah dan kecurangan kuasa secara menyeluruh.
“Ini adalah usaha berterusan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan negara kepada ATM melalui amalan tadbir urus yang bersih,” katanya.








