MITI aktif galak pelaburan dalam industri unsur nadir bumi (REE) untuk segmen pertengahan dan hiliran bagi pastikan nilai tambah di Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) giat menggalakkan pelaburan dalam industri unsur nadir bumi (REE) bagi segmen pertengahan dan hiliran.
Ini bagi memastikan nilai tambah berlaku di bumi Malaysia.
MITI menjelaskan syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran di peringkat pertengahan dan hiliran REE layak dipertimbangkan insentif mengikut Akta Penggalakan Pelaburan 1986.
Insentif tersebut adalah galakan taraf perintis dan elaun cukai pelaburan.
“Syarikat yang menjalankan aktiviti berteknologi tinggi serta syarikat berstatus industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh dipertimbangkan insentif khas mengikut akta yang sama,” menurut kementerian itu.
Insentif-insentif ini bertujuan menggalakkan pembangunan aktiviti bernilai tambah tinggi bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemprosesan REE di dunia dan rantau ini.
MITI memaklumkan sedemikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar mengenai usaha kementerian untuk menarik pelaburan strategik bagi membangunkan industri pemprosesan REE, khususnya di Perak.
Shamsuddin juga bertanyakan langkah bagi memastikan nilai tambah REE dapat dikekalkan di dalam negara dan tidak hanya dieksport sebagai bahan mentah.
MITI menjelaskan Malaysia juga giat meneroka peluang kerjasama dengan negara berkepentingan yang memiliki teknologi huluan hingga hiliran terkini REE.
“Kerjasama kerajaan dengan syarikat sedia ada telah mewujudkan peluang pekerjaan berkepakaran tinggi kepada warga tempatan dan seterusnya menjanjikan pendapatan lebih tinggi,” tambah kementerian itu.
Perkongsian teknologi seumpama ini dan pembangunan vendor tempatan adalah antara syarat yang ditekankan oleh MITI dalam menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan kepakaran asing luar negara.
Menurut MITI, matlamat kerajaan adalah untuk melonjakkan Malaysia daripada negara pengeluar bahan mentah semata-mata kepada pemain utama dalam pengeluaran produk hiliran seperti super-magnet buatan Malaysia.
“MITI berpandangan pembangunan industri REE tempatan adalah penting dan selari dengan pelaksanaan dasar nasional terutama Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Bahan Termaju Negara (NAMTR) 2021-2030,” tambahnya.
Industri hiliran mineral tempatan yang berdaya maju dan holistik akan menyokong pelaksanaan pelan tindakan berlandaskan NIMP 2030.
Ini terutama bagi mencapai Misi Pertama: Memajukan Kompleksiti Ekonomi dan Misi Ketiga: “Push for Net Zero”. – Bernama







