Kementerian Pengangkutan teliti cadangan syarikat penerbangan wajib papar jumlah subsidi kerajaan pada tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti cadangan mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan jumlah subsidi kerajaan bagi tiket penerbangan ke laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mencari mekanisme terbaik supaya penumpang mendapat makluman jelas mengenai jumlah subsidi yang mereka terima.
“Sesetengah penumpang mungkin tidak sedar jumlah subsidi besar yang telah diperuntukkan kerajaan apabila mereka membeli tiket penerbangan pada musim perayaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat mewajibkan pemakluman sedemikian.
Loke berkata kementerian membelanjakan RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,744 tiket penerbangan tahun ini, bersamaan RM491 bagi setiap tiket yang layak.
Melalui subsidi itu, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang ialah RM499 walaupun purata harga sebenar tiket adalah RM990.
“Subsidi untuk tahun ini telah dilaksanakan bagi Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya. – Bernama









