MPK beri pengecualian penuh sewa bulan November kepada kira-kira 10,000 peniaga terjejas banjir di Perlis, bantu ringankan beban mereka
KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberikan pengecualian bayaran sewa bulanan premis perniagaan di bawah seliaannya untuk November kepada kira-kira 10,000 peniaga yang terjejas akibat banjir di Perlis.
Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata premis itu termasuk pasar malam, pasar tani, kiosk dan kedai.
Beliau menyatakan langkah itu adalah sebahagian usaha pihaknya untuk membantu meringankan beban peniaga yang terkesan dengan bencana berkenaan.
“Pengecualian penuh sewaan bagi November diberikan kepada semua peniaga berkenaan termasuk premis tidak dinaiki air tetapi tidak dapat beroperasi ketika banjir.
“Jika peniaga sudah membuat pembayaran untuk November, bayaran itu dibawa ke bulan berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rancakkan MADANI di Kangar hari ini.
Program jualan sehari anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis itu antara lain melaksanakan happy hour bagi 100 set kombo MADANI.
Set kombo itu dijual pada harga RM8 setiap set dan habis dalam tempoh kira-kira 15 minit selepas bermula 9 pagi.
Set Kombo MADANI mengandungi minyak masak satu liter, bihun dan tepung goreng agromas.
Selain itu, terdapat potongan harga RM3 masing-masing bagi seekor ayam dan setiap sekilogram ikan rakyat.
Telur ayam gred C pula dijual pada harga RM8 sepapan.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata kerugian melibatkan 27 usahawan FAMA negeri itu yang terkesan banjir berjumlah RM340,400.
Kerugian itu merangkumi kerosakan peralatan, bahan mentah, tanaman serta outlet pasaran.







