Penyanyi rap Namewee tidak hadir ke mahkamah kerana dijangkiti Influenza A, menyebabkan sebutan dua kes dadah ditangguh ke tarikh baharu.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret menangguhkan prosiding sebutan dua kes dadah membabitkan Wee Meng Chee atau Namewee hari ini.
Peguamnya, Joshua Tay, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya itu tidak dapat hadir kerana kurang sihat.
“Pihak kami mengemukakan sijil cuti sakit serta laporan perubatan daripada sebuah hospital yang mengesahkan anak guam dijangkiti Influenza A,” kata Joshua.
Dia memberitahu majistret bahawa Namewee diberi cuti sakit selama tiga hari bermula semalam.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi kedua-dua kes masing-masing pada 22 Dis ini dan 19 Januari tahun depan.
Mengikut pertuduhan pertama, Namewee didakwa memiliki dadah disyaki jenis ekstasi seberat kira-kira 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan kedua, melalui ujian air kencing, didapati tertuduh memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine, THC dan ketamin.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman tertentu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi’ Asnitha Zaina’ Larifin dan Izzat Amir Idham.








