Friday, October 31, 2025
23.1 C
Malaysia
spot_img

Namhae Chemical berminat dapatkan bahan mentah baja dari Malaysia

The Sun Webdesk

Konglomerat Korea Selatan Namhae Chemical ingin peroleh batu fosfat, kalium klorida dan ammonia hijau dari Malaysia untuk pengeluaran baja.

GYEONGJU: Namhae Chemical Corporation menyatakan minat berterusan untuk memperoleh bahan mentah khususnya batu fosfat, kalium klorida dan ammonia hijau dari Malaysia bagi pengeluaran baja kimianya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia menawarkan asas yang boleh dipercayai dan kompetitif untuk rantaian bekalan serta kerjasama pengeluaran masa depan konglomerat Korea Selatan itu dengan memanfaatkan institusi penyelidikan dan kawasan perindustrian Malaysia.

“Melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Malaysia bersedia untuk memudah cara pengembangan perniagaan dan kepelbagaian penyumberan Namhae Chemical di Malaysia.

“Malaysia juga mengalu-alukan perbincangan mengenai potensi pelaburan dalam rantaian nilai ammonia hijau dan kimia Malaysia, bagi menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik mereka di ASEAN,” kata Anwar dalam kenyataan selepas mengadakan mesyuarat dengan pihak syarikat itu di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELM) yang berlangsung di sini.

Perdana Menteri turut menyatakan harapan untuk memperkukuh kerjasama itu serta menyokong pertumbuhan masa depan Namhae Chemical di Malaysia, berasaskan tumpuan bersama terhadap kemampanan dan inovasi.

“Pempelbagaian ini sejajar dengan kapasiti Malaysia yang semakin meningkat dalam input baja mampan dan peralihan negara ke arah ekosistem perindustrian hijau berlandaskan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” kata beliau.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Naib Presiden Eksekutif Namhae Chemical Corporation Kang Nam-Kyung.

Namhae Chemical, anak syarikat National Agricultural Cooperative Federation (NONGHYUP) yang merupakan konglomerat ke-10 terbesar di Korea Selatan.

Syarikat itu ialah pengeluar baja kimia dan produk kimia industri terbesar di Korea Selatan dengan penguasaan pasaran sebanyak 42 peratus, dan mengeksport ke 20 negara.

Sebagai pembeli bahan mentah berskala besar, jumlah pembelian tahunan syarikat itu mencecah RM3.22 bilion pada 2024 dengan produk utama yang dibeli ialah ammonia (27 peratus), urea (11 peratus), batu fosfat (13.3 peratus), kalium klorida (3.3 peratus) dan sulfur (3.5 peratus).

Sementara itu, Anwar berkata cadangan kolaborasi antara JS Link yang tersenarai di Korea Selatan dan Lynas Malaysia untuk mewujudkan kilang pembuatan magnet di Malaysia menyerlahkan ekosistem perindustrian negara yang kukuh, tenaga kerja mahir serta dasar mesra pelaburan.

“Kolaborasi ini akan membantu mewujudkan rantaian bekalan mampan bagi magnet nadir bumi, yang merupakan komponen penting dalam kenderaan elektrik (EV), sistem tenaga boleh baharu dan pembuatan berteknologi tinggi,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersedia untuk menyokong JS Link dan rakan usaha samanya dalam merealisasikan projek itu, yang bukan sahaja akan mengukuhkan peranan Malaysia dalam ekosistem nadir bumi serantau malah juga menyumbang kepada usaha global dalam membina rantaian bekalan mineral penting yang terjamin, telus dan mampan.

Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat berasingan dengan JS Link, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif JS Link Lee Jun Young dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia Datuk Seri Marshal Ahmad.

Pada Julai tahun ini, Lynas Rare Earths Ltd memaklumkan pihaknya telah menandatangani persetujuan awal dengan JS Link untuk membangunkan kemudahan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia.

Mengikut memorandum persefahaman itu, Lynas akan bekerjasama dengan JS Link bagi membangunkan kemudahan untuk menghasilkan sehingga 3,000 tan jenis magnet sinter kekal neodymium-besi-boron berhampiran loji bahan termaju syarikat itu di Kuantan.

Firma Korea Selatan itu sedang memperluas operasinya dengan menceburi industri magnet kekal nadir bumi, dengan tujuan membina rantaian bekalan global dan mampan melalui langkah agresif untuk menjamin kedudukan dalam rantaian bekalan magnet nadir bumi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img