the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Op Payung diaktifkan jika berlaku banjir – Jabatan Pendidikan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan mengaktifkan Op Payung jika berlaku banjir pada musim peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung ketika ini.

Timbalan Pengarah JPNT (Sektor Pengurusan Sekolah) Azman Othman @ Abdullah berkata operasi itu akan digerakkan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk anggota keselamatan sekiranya berlaku tiga situasi yang mengancam perjalanan peperiksaan.

Beliau berkata jika berlaku banjir yang hanya melibatkan pusat peperiksaan, sedangkan kawasan persekitaran, kediaman calon dan jalan ke pusat peperiksaan tidak terjejas, pusat peperiksaan di dewan akan ditukar ke bilik lain yang tidak terlibat banjir.

“Untuk situasi pertama, tindakan perlu dilakukan sebelum banjir iaitu apabila hujan lebat atau air mula naik. Calon SPM dan pengawas peperiksaan akan dimaklumkan mengenai perkara berkenaan,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata bagi situasi kedua iaitu banjir hanya menjejaskan jalan menuju ke pusat peperiksaan, sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terbabit, calon akan diarahkan menumpang di rumah saudara-mara yang berdekatan sekolah atau ditempatkan di asrama bagi sekolah yang mempunyai kemudahan itu.

Menurut beliau, situasi ketiga yang paling kritikal iaitu apabila pusat peperiksaan, jalan menuju ke pusat peperiksaan dan persekitarannya dilanda banjir.

“Bagi keadaan ini, tindakan pertama ialah pusat peperiksaan asal akan dipindahkan ke sekolah lain dalam daerah sama yang dikenal pasti tidak akan terlibat banjir. Calon-calon SPM dan guru bertugas hendaklah pindah bersama ke pusat berkenaan dan menunggu sehingga peperiksaan selesai.

“JPNT dengan kerjasama kerajaan negeri akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif di mana-mana daerah yang berdekatan jika tindakan pertama tidak dapat dilaksanakan,“ katanya.

Azman berkata sebanyak 18,492 calon akan mengambil peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu bermula hari ini hingga Khamis, manakala peperiksaan bertulis pada 30 Jan hingga 7 Mac.

Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), peperiksaan bertulis semester satu dijadualkan berlangsung bermula 22 Jan ini.

“Setakat ini, tiada mana-mana kawasan dilanda banjir dan Ujian Bertutur Bahasa Melayu berjalan lancar di semua pusat peperiksaan,“ katanya.–Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings