Operasi SAR anggota polis 23 tahun hilang dihanyut arus deras di Kampung Giching, Sepang diteruskan dengan 60 anggota pelbagai agensi
SEPANG: Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota polis yang hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras malam tadi giat dijalankan dengan kekuatan kira-kira 60 anggota.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata operasi melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta bantuan daripada IPD Nilai dan penduduk kampung.
Operasi SAR digerakkan semula pada 7.30 pagi tadi selepas usaha awal dilakukan sejurus laporan kejadian diterima kira-kira 10.30 malam.
“Malam tadi kita mula SAR sekitar 11 malam dan berakhir 4.30 pagi tadi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kampung Giching.
Mangsa berusia 23 tahun itu masih belum ditemui setakat ini dengan barangan peribadi termasuk kad pengenalan polis ditemui dalam kenderaannya.
Pasukan bomba telah melakukan empat kali selaman setakat hari ini selain usaha menyusuri aliran sungai sejauh 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dilihat berpaut pada papan tanda berhampiran keretanya sebelum hilang dibawa arus deras.
Norhizam berkata Unit Udara JBPM akan digerakkan serta penggunaan anjing pengesan jika mangsa tidak ditemui hari ini.
“Usaha pencarian akan diteruskan hingga mangsa ditemukan,” tegasnya.
Mangsa yang berkhidmat di IPD Nilai difahamkan dalam perjalanan menuju ke tempat kerja selepas menziarahi keluarganya.
Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai orang hilang dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa. – Bernama








