PAIP laksanakan DMA dan PMA untuk kesan kebocoran air, ganti paip usang 574 km dengan kos RM450 juta bagi turunkan kadar NRW di Pahang
KUANTAN: Pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW).
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif itu termasuk membina pengukuran meter daerah (DMA) dan kawasan pengurusan tekanan air (PMA).
Beliau berkata DMA dan PMA turut boleh membantu mengesan kebocoran air dengan lebih efisien.
Antara langkah lain ialah menukar paip usang sepanjang kira-kira 574 kilometer secara berfasa hingga 2030.
Jumlah kos untuk kerja penggantian paip itu dianggarkan RM450 juta dan melibatkan semua daerah di negeri ini.
“Ini semua usaha yang kita buat dari semasa ke semasa, cuma tidak dapat dibuat secara serentak,” katanya.
Wan Rosdy berkata komitmen untuk menyelesaikan masalah air di Pahang bermula 2018 dan kini mula menampakkan hasil.
“Fasa seterusnya ialah mengurangkan NRW,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Selain pembiayaan dalaman PAIP, kerajaan negeri turut menerima peruntukan geran sebanyak RM313 juta daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Peruntukan itu adalah bagi program NRW.
Wan Rosdy berkata faktor berlakunya NRW di Pahang antaranya berpunca daripada paip yang usang.
Faktor lain ialah berlakunya kecurian air.
“Untuk mengesan air hilang agak susah juga kerana meter yang panjang, sebab itu kita ambil tindakan proaktif pasang DMA dan PMA,” katanya.
Kerajaan negeri turut turun padang bagi melihat sendiri masalah bekalan air.
“Kita tanya rakyat sebab nak maklum balas, setakat ini semua cakap bertambah baik,” ujarnya.
Wan Rosdy menegaskan sekiranya ada masalah tekanan air, PAIP akan ambil tindakan pantas. – Bernama







