Pearly Tan-M. Thinaah mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir 2025 sebagai juara Kumpulan A walaupun tewas kepada pasangan Jepun
BEREGU wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mara ke separuh akhir Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2025 sebagai juara Kumpulan A walaupun tewas dalam perlawanan terakhir.
Pasangan negara itu akur kepada Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun 15-21, 21-16, 19-21 selepas pertarungan sengit selama 81 minit.
Thinaah mengakui mereka tidak memulakan perlawanan seperti yang diharapkan.
“Pada set kedua kami berbincang tentang bagaimana untuk melakukan beberapa pukulan dan permainan menjadi bertambah baik hingga ke set penentuan,” katanya melalui rakaman audio BWF.
“Perkara paling penting ialah untuk saling menyokong dan kekal tenang pada saat penuh tekanan.”
Beliau menambah pasangan Jepun bermain dengan baik pada hujung perlawanan dengan memberi tekanan berterusan.
“Kami tidak mahu lagi memikirkan kekalahan hari ini kerana ia telah berlalu, kami hanya mahu berbincang dan bersedia untuk aksi esok,” katanya.
Pearly pula berkata keutamaannya ialah menamatkan perlawanan dalam keadaan fizikal yang baik selepas berasa tidak selesa pada kaki.
Dalam aksi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa berpuas hati di tempat kedua Kumpulan B selepas tewas kepada pasangan nombor satu China.
Mereka tewas 18-21, 24-26 kepada Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping pada perlawanan terakhir kumpulan.
Undian separuh akhir yang melibatkan Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei akan dijalankan selepas semua perlawanan kumpulan selesai.
Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menoktahkan kempen selepas tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam Kumpulan B.
Pasangan itu tewas 17-21, 17-21 kepada pasangan Indonesia Jafar Hidayatullah–Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu. – Bernama








