Mahkamah Tinggi Bintulu tingkatkan hukuman pegawai kapal kepada sebulan penjara dan denda kerana buli fizikal kadet maritim semasa latihan.
BINTULU: Mahkamah Tinggi di sini meningkatkan hukuman terhadap seorang pegawai kapal kepada sebulan penjara dan denda kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang kadet maritim.
Hakim Amelati Parnell membuat keputusan itu terhadap Abraham Tobing, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret.
Abraham mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan atas kesalahan secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap M.P. Suhash, seorang kadet maritim di syarikat tempatnya bekerja sebagai Pegawai Kedua.
Amelati menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan ke atas responden, dengan tempoh penjara diarahkan berjalan serentak.
Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Bintulu pada 9 April 2025, yang hanya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Amelati berkata budaya buli semakin meluas dan menekankan mahkamah tidak sekali-kali membenarkan buli atau penderaan fizikal.
“Kesalahan serius mesti dikenakan hukuman yang setimpal dan bersifat pencegahan bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, responden telah menumbuk mangsa di bahagian dada dan bahu pada 5 Disember 2022.
Serangan itu berterusan antara 6 hingga 15 Disember 2022, dengan responden menolak mangsa ke atas meja dan menampar bahagian belakang lehernya ketika kapal berada di laut.
Siasatan mendedahkan serangan itu berpunca daripada ketidakpuasan hati responden terhadap prestasi mangsa semasa latihan.
Seorang pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada bahu, dada, dan tangan kanan.
Abraham diwakili peguam Hasnah Saini manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Asfa Jannah Mohamad Ariff Irwani bertindak bagi pihak pendakwaan.








