Empat pelajar ditahan selepas pelajar tingkatan empat ditemukan pengsan dalam tandas asrama akibat dipukul di Sungai Petani
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas asrama sebuah sekolah.
Kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa dipukul sekumpulan pelajar pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata ibu mangsa mengetahui kejadian itu selepas dihubungi guru pada pukul 9.05 pagi.
“Ibu mangsa memaklumkan anaknya telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan kejadian berlaku pada tengah malam membabitkan beberapa pelajar,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan memburuk-burukkan kawan kepada seorang pelajar.
Pelajar tersebut kemudiannya mengajak tiga rakan untuk bertemu mangsa.
Pergaduhan berlaku antara mereka dan mangsa mengalami lebam pada badan.
Empat pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun telah ditahan polis.
Seorang remaja berusia 16 tahun direman tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan. – Bernama







