Seorang pemandu lori cedera tersepit selepas kemalangan babitkan bas dan dua lori di Lebuhraya Pantai Timur 1 dekat Maran, pagi tadi
KUANTAN: Seorang pemandu lori cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Lebuhraya Pantai Timur 1 dekat Maran pagi tadi.
Kejadian berlaku di kilometer 182.9 lebuh raya itu kira-kira jam 5.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah bas persiaran tanpa penumpang yang sedang menuju ke Kuantan.
Siasatan awal mendapati bas itu merempuh bahagian belakang sebuah lori.
“Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan dan sebuah lagi lori dari arah belakang melanggar bahagian belakang bas terbabit,” katanya.
Pemandu lori berusia 61 tahun yang dirempuh itu tersepit dalam kenderaannya.
Dua pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran tiba di lokasi untuk menyelamatkan mangsa.
Operasi mengeluarkan pemandu yang tersepit itu mengambil masa kira-kira 20 minit.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher dan perut.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh untuk rawatan.
Kes ini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – Bernama







