GUA MUSANG: Tokong Kuan Tai Meow yang berusia lebih 100 tahun mula dihias oleh kaum Cina di Bandar Lama, di sini, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada 10 Feb depan.
Ahli Jawatankuasa Keceriaan Tokong Liew Koon Yan, 54, berkata rumah ibadat itu mula dihias sejak awal bulan ini oleh penduduk setempat yang sepakat bergotong-royong menceriakan tempat yang menjadi tumpuan pengunjung beragama Buddha dan Taoist pada hari pertama hingga hari ke sembilan Tahun Baharu Cina.
“Persiapan perlu dilakukan awal memandangkan mereka perlu mengenal pasti keperluan untuk mengitar semula atau menggantikan perhiasan sedia ada.
“Kami akan memilih dan membersihkan tanglung dan bunga Mei Hua yang sedia ada untuk digunakan semula serta menyiapkan tulisan kaligrafi untuk diletakkan di pintu dan dinding tokong yang berusia 160 tahun ini,“ katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Lama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Liew berkata tahun ini mereka turut menggunakan hiasan payung mewakili doa untuk melindungi setiap keluarga dan kerja-kerja menghias dijangka siap sepenuhnya seminggu sebelum sambutan perayaan itu untuk tatapan hampir 9,000 pengunjung yang hadir ke rumah ibadat tersebut.
Bagi wanita etnik Kantonis, Chong Won Mei, 50, berkata kesemua perhiasan seperti kertas Hongzhi, dakwat Cina dan pokok limau atau kumquat yang digunakan diimport dari China dan hanya dapat dibeli di Kuala Lumpur.
“Walaupun kos membeli perhiasan ini meningkat sehingga 30 peratus dari tahun lepas, kami tetap membelinya kerana ingin menghidupkan suasana perayaan.
“Setakat ini, kami sudah berbelanja kira-kira RM5,000 untuk perhiasan mengikut tema dan menggantikan barang-barang yang telah rosak,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Baru dari etnik Hokkien Suni Eh Wang, 53, berkata dia akan mengajak beberapa rakan untuk membantu menceriakan tokong itu selain membeli perhiasan mengikut kemampuan masing-masing.
“Sempena kedatangan tahun baharu mengikut Kalendar Qamari Cina ini saya mendoakan agar mendapat kesihatan yang baik dan kegembiraan sepanjang tahun,“ katanya. -Bernama








