Pesta Pulau Pinang edisi 2025/2026 jadi yang terakhir sebelum direhatkan enam tahun bagi pembinaan LRT Laluan Mutiara dan TOD MRT Corp
GEORGE TOWN: Pesta Pulau Pinang 2025/2026 akan menjadi edisi terakhir yang dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum direhatkan selama enam tahun.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penangguhan itu adalah untuk memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) oleh MRT Corp.
Beliau menyatakan MRT Corp dijangka mengambil alih tapak seluas 8.14 hektar itu pada April 2026.
“Berdasarkan perkembangan terkini MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak ini pada April 2026, ia membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” katanya semasa perasmian pesta itu.
Pesta kali ini berlangsung selama 36 hari bermula 6 Disember 2025 hingga 10 Januari 2026.
Chow berkata edisi ke-59 ini mengetengahkan produk jualan daripada usahawan PKS dan agensi negeri.
Harga tiket masuk untuk warganegara dikekalkan pada RM5 seorang manakala pelancong asing dikenakan bayaran RM10.
Orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran tiket.
Sebagai simbolik sokongan, Pesta Fun Walk julung kali telah diadakan pada 29 November lalu.
Chow turut mengimbau sejarah pesta yang bermula pada 1966 sebagai karnival jualan di Padang Kota Lama.
Pesta itu beroperasi secara tetap di Tapak Pesta Sungai Nibong sejak tahun 1974.
Nostalgia selama 59 tahun itu dipamerkan di Galeri Legasi Mutiara menerusi kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri.
Tapak pesta itu dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk gerai, tempat letak kereta, surau dan tandas.
Ia juga menjadi simbol hubungan diplomatik dengan kehadiran pavilion dari Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand. – Bernama







