Tuesday, November 18, 2025
24.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PH akur keputusan SPR kekalkan nama calon DUN Silam

Pakatan Harapan terima keputusan SPR kekalkan nama Abdul Halim Sidek sebagai calon DUN Silam meskipun tarik diri selepas penamaan calon.

SANDAKAN: Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan nama Abdul Halim Sidek Gulam Hassan sebagai calon Dewan Undangan Negeri Silam pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan peruntukan undang-undang, nama calon yang telah disahkan bertanding tidak boleh dikeluarkan daripada kertas undi.

Beliau menjelaskan bahawa PKR telah menghentikan semua gerak kerja kempen di DUN berkenaan.

“Apabila kita kata tarik diri, maknanya semua operasi kempen dihentikan. Itu bermakna calon kita tidak lagi turun berkempen atau meraih undi,” katanya kepada media semasa program Sembang Santai bersama calon PH Gum Gum di sini hari ini.

Saifuddin menegaskan bahawa undang-undang menyatakan nama calon kekal selepas kertas penamaan calon disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan Abdul Halim menarik diri daripada PRN ke-17 selepas perbincangan bersama pimpinan tertinggi PH.

Selepas proses penamaan calon PRN ke-17 pada Sabtu lepas, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru dalam usaha meraih sokongan daripada 28,261 pengundi.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan nama calon PH kekal tersenarai dalam kertas undi meskipun Abdul Halim menyatakan hasrat untuk menarik diri selepas hari penamaan calon.

Beliau menegaskan tiada seorang calon pun dibenarkan menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

SPR menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian manakala 25 November untuk hari mengundi awal. – Bernama

BACA:

SPR ingat parti, penyokong jaga ketenteraman awam semasa penamaan calon

SPR ingatkan bakal calon PRN Sabah serah kertas penamaan 9-10 pagi Sabtu

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories