KPWKM melalui ISM sedang menyiapkan kajian pembangunan piawaian kompetensi praktis kerja sosial Malaysia menjelang 2027
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) sedang menyiapkan Kajian Pembangunan Piawaian Kompetensi Praktis Kerja Sosial Malaysia.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kajian itu dijangka siap menjelang tahun 2027 bagi memperkukuh bidang kerja sosial di negara ini.
Beliau menekankan kepentingan memartabatkan profesion kerja sosial supaya setiap pekerja sosial dilengkapi dengan kompetensi yang kukuh, beretika tinggi dan berkesan.
“Kita mahu bidang kerja sosial di Malaysia diiktiraf sebagai profesion yang berasaskan ilmu, data dan bukti, tanpa menghilangkan nilai empati dan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program ISM Inspire 2025.
Program bertemakan “Ilmu, Inspirasi, Sosial” itu dianjurkan oleh ISM bagi membincangkan isu-isu sosial semasa di Malaysia.
Nancy berkata penganjuran program itu bertepatan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan sosial inklusif.
Ia juga menjajarkan dengan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 yang merangkumi 44 dasar sosial utama negara.
“Dasar-dasar berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata,” tegasnya.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan itu mesti sampai kepada rakyat melalui kerjasama semua pihak.
“Anda semua belia, pekerja sosial, NGO dan akademia adalah rakan kongsi kerajaan dalam merealisasikannya agar benar-benar menyentuh kehidupan rakyat,” katanya. – Bernama






