KBS bentang pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 tahun depan, tingkat kuasa Pesuruhjaya Sukan dan tangani integriti sukan serta e-sukan
KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan meja bulat dengan pemegang taruh bagi menjadikan akta tersebut lebih berkesan.
“Kita jangkakan pindaan Akta Pembangunan Sukan ini akan dibentangkan tahun hadapan supaya semua kelompongan sedia ada dapat ditutup,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan mengenai cadangan meningkatkan kuasa undang-undang akta bagi membendung penipuan dan manipulasi rasuah dalam e-sukan.
Hannah menegaskan KBS sentiasa berkolaborasi dengan SPRM untuk menangani isu rasuah dalam sukan.
Mengenai promosi e-sukan di sekolah, beliau menyatakan KBS mengambil pendekatan konservatif tanpa promosi aktif.
Kebimbangan utama termasuk ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar.
“Kawalan serta bimbingan ibu bapa amat penting agar minat terhadap e-sukan dapat diurus secara seimbang,” katanya.
Beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian.
Kertas cadangan dan draf garis panduan telah disediakan bagi pelaksanaan e-sukan di sekolah.
Mulai tahun depan, KPM akan menilai dan menyokong penganjuran pertandingan e-sukan oleh agensi luar.
Sokongan hanya diberikan kepada penganjur menggunakan judul permainan yang diluluskan jawatankuasa penilai.
Jawatankuasa penilai turut melibatkan unit Psikologi Kaunseling dari KKM bagi memastikan kesesuaian kandungan.
KBS telah menyumbang input melalui Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan sebagai dokumen rujukan.
KBS dan KPM akan terus berbincang bagi menyokong pertumbuhan e-sukan sambil memastikan kepentingan pelajar terpelihara. – Bernama






