Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Afrika Selatan ke Nairobi, Kenya
PRETORIA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas dari Afrika Selatan ke Nairobi, Kenya selepas penyertaan yang membuahkan hasil di Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di sini.
Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang dinaiki Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Waterkloof, Pretoria pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan, Ahad, (jam 6.30 petang waktu Malaysia) menuju ke destinasi terakhir daripada tiga negara kunjungan beliau di Afrika.
Pretoria yang juga pusat pentadbiran Afrika Selatan, terletak satu jam perjalanan dari Johannesburg yang merupakan lokasi Sidang Kemuncak G20 berkenaan.
Selain penyertaan serta pertemuan rasmi dalam sesi berkaitan, Anwar turut memanfaatkan peluang berinteraksi dengan kalangan pemimpin lain yang melibatkan perbincangan menumpukan usaha bagi meningkatkan pelaburan, perdagangan serta hubungan dua hala.
Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri dari 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu Presiden negara itu, Cyril Ramaphosa.
Perdana Menteri diundang atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada 24 November.- Bernama







