the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 8, 2025
22.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PM Anwar gesa manfaat kestabilan politik untuk rancang program rakyat

PM Anwar Ibrahim menyeru semua pihak manfaatkan kestabilan politik untuk rancang program demi kebaikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak memanfaatkan kestabilan politik negara untuk merangka dan melaksanakan program jelas demi kebaikan rakyat.

Beliau berkata kestabilan politik Malaysia kini membolehkan kerajaan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik serta mengurangkan kadar pengangguran.

Kerajaan juga berjaya merekodkan kadar kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

“Beberapa tahun sebelum ini, negara kita terumbang-ambing politiknya… sekarang, tiga tahun kerajaan dan politik negara stabil,” katanya.

Anwar berkata hasil kestabilan itu, negara hampir berjaya menamatkan kemiskinan tegar.

“Saya tidak mahu mendabik dada kata usaha saya seorang… ini usaha Jemaah Menteri yang ada tekad bersama,” ujarnya.

Beliau turut memuji Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menterjemahkan dasar itu di peringkat pelaksanaan.

Anwar menyampaikan ucapan itu pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya di ibu negara.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan serta Shamsul Azri.

Beliau menegaskan pengakuan itu bukan untuk meremehkan pencapaian sedia ada, tetapi mengiktiraf ruang untuk penambahbaikan.

“Saya tekankan kadang-kadang dalam pertarungan kita, baik (daripada segi) politik, perselisihan faham, ideologi, kaum, suku kaum dan negeri, kadangkala hilang nilai kemanusiaannya,” katanya.

Mengulas usaha berterusan Kerajaan MADANI memerangi rasuah, Anwar melahirkan rasa dukacita dengan kewujudan satu trend yang cenderung mengagung-agungkan pemberi rasuah.

Beliau berkata masyarakat sering menyatakan kebencian terhadap rasuah, tetapi marah apabila tindakan dikenakan terhadap rakan mereka.

“Bukan setakat itu, kita sekarang ada pula trend aliran untuk mendewakan dan mengagungkan pemberi rasuah, saya fikir (ini) sangat menggusarkan kerana ini tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories