the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 14, 2025
21.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PM Ethiopia pandu sendiri kenderaan bawa Anwar lawat muzium

PM Ethiopia Dr Abiy Ahmed pandu sendiri kenderaan rasmi bawa PM Anwar Ibrahim lawat Muzium Sains Ethiopia sempena lawatan rasmi tiga hari.

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali memberikan sambutan unik dengan memandu sendiri kenderaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi ke negara itu.

Abiy menyambut sendiri Anwar sejurus ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke Leaders Lounge untuk pertemuan ringkas.

Perdana Menteri Ethiopia kemudian memandu Anwar melawat Muzium Sains Ethiopia yang mempamerkan sejarah pembangunan teknologi dan inovasi negara tersebut.

Muzium berkenaan terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari lapangan terbang dan merupakan antara simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.

Anwar turut dibawa melawat “Friendship Park” yang menjadi tumpuan warga tempatan dan pelancong untuk menikmati kehijauan serta landskap indah.

Abiy kemudian membawa Anwar ke Hotel Sheraton Addis sekaligus menamatkan acara lawatan hari pertama.

Dalam hantaran di laman X, Abiy mengalu-alukan kedatangan Anwar dan delegasinya untuk lawatan rasmi selama tiga hari.

“Kehadiran anda adalah bukti sebenar persahabatan serta solidariti yang semakin kukuh antara Ethiopia dan Malaysia,” kata Perdana Menteri Ethiopia itu.

Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Perdana Menteri Malaysia ke Ethiopia dan lawatan balas selepas kunjungan rasmi Abiy ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.

Ia meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak Januari 1965.

Lawatan ini juga bersempena pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025 selepas ditutup selama 42 tahun. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories