the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 11, 2025
23.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PM utamakan peniaga kecil dalam pembangunan stesen kereta api luar bandar

Anwar Ibrahim mahu peniaga kecil diberi keutamaan dalam pembangunan stesen kereta api baharu, terutamanya di lokasi luar bandar, sebagai sebahagian pendekatan Ekonomi MADANI

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keutamaan kepada penyertaan peniaga kecil dan usahawan mikro dalam pembangunan kawasan stesen kereta api, terutama di lokasi kecil dan luar bandar.

Beliau berkata stesen baharu bukan sekadar infrastruktur pengangkutan tetapi pusat kegiatan ekonomi baharu yang berpotensi menarik pelaburan.

“Kita nak pastikan pusat dan gerai makanan di kawasan ini diperindah, serta perumahan, peluang pekerjaan dan apa-apa sahaja yang memberi manfaat kepada rakyat diperbanyak di sekitar lokasi ini,“ katanya.

Anwar menyatakan ini merupakan kelainan dalam pendekatan Ekonomi MADANI yang memerlukan campur tangan terarah kerajaan dengan kerjasama sektor swasta.

Beliau berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Kempas Baru hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Perdana Menteri berkata negeri seperti Johor, yang mencatat pelaburan hampir RM100 billion, perlu memanfaatkan stesen kereta api kecil di seluruh rangkaian.

“Johor sudah bertapak sebagai ekonomi gagah tetapi pendekatan ekonomi kita perlu bawa kepada peningkatan pendapatan rakyat,“ jelasnya.

Mengenai Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Anwar menyifatkan penyempurnaan projek itu sebagai model pembangunan negara dalam infrastruktur pengangkutan.

Beliau berkata cabaran kini ialah memastikan manfaat prasarana asas yang hampir lengkap itu diperoleh rakyat.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu melibatkan pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti serta warisan negeri Johor.

Stesen-stesen baharu itu meliputi empat daerah utama iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan stesen terakhir di JB Sentral.

Anwar turut menyatakan Kerajaan Persekutuan mengamalkan pendekatan lebih inklusif dengan mengambil kira input kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan.

Beliau berkata pendekatan kerajaan memberi penekanan kepada proses musyawarah sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories