PDRM tidak benarkan sebarang perhimpunan di Ampang Park esok bagi menjaga keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menegaskan tiada sebarang perhimpunan dibenarkan di kawasan Ampang Park, Jalan Ampang di sini esok atas faktor keselamatan dan imej negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata keputusan itu dibuat selepas menilai kawasan berkenaan sebagai tidak sesuai untuk perhimpunan berdasarkan risikan dan analisis bersama agensi keselamatan lain.
Beliau menyatakan Ampang Park dikategorikan sebagai kawasan zon merah kerana jaraknya kurang 50 meter daripada laluan protokol dan kawasan penginapan rasmi delegasi sidang kemuncak.
“Atas faktor keselamatan, imej negara serta kelancaran persidangan antarabangsa itu, polis tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Fadil berkata polis menerima maklumat terdapat sehingga tiga perhimpunan dijadual diadakan di Ampang Park esok dengan kehadiran dijangka antara 1,000 hingga 1,500 peserta.
Difahamkan perhimpunan itu dirancang oleh gabungan pertubuhan yang prihatin terhadap isu Palestin bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Beliau berkata pihak polis telah mengadakan perbincangan dengan penganjur dan mencadangkan beberapa lokasi alternatif seperti Dataran Merdeka atau Padang Merbok.
“Sekiranya perhimpunan tetap diadakan, ia bercanggah dengan arahan keselamatan dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang,” tegas Fadil.
Beliau menegaskan bahawa PDRM menghormati hak rakyat untuk berhimpun namun semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan arahan keselamatan.
Fadil berkata Polis Kuala Lumpur akan menggerakkan kekuatan penuh dengan bantuan anggota luar daerah bagi memastikan keselamatan sekitar ibu negara kekal terkawal.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini membawa imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini. – Bernama










