FAM kini ambil alih aspek teknikal NFDP termasuk latihan dan kejurulatihan, manakala MSN kekal urus pengurusan dan sokongan atlet.
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mengambil alih peranan teknikal dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan langkah itu bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun dan bersepadu.
Pengambilalihan itu melibatkan aspek teknikal sepenuhnya selaras dengan kepakaran serta mandat FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
“Antara tanggungjawab utama yang digalas oleh FAM merangkumi latihan atlet, penyertaan kejohanan, serta pengurusan kejurulatihan pada semua peringkat pelaksanaan NFDP,” menurut MSN.
Ia selaras dengan cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membuat penilaian terhadap program itu hasil permintaan Kementerian Belia dan Sukan.
MSN akan terus memainkan peranan penting dalam menguruskan aspek pengurusan dan sokongan atlet.
Tanggungjawab itu meliputi pentadbiran, pengurusan fasiliti dan kewangan, serta pengurusan pertandingan.
Ia juga merangkumi kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, serta perkhidmatan perubatan dan sains sukan.
Pembahagian peranan yang jelas antara FAM dan MSN itu bertujuan memastikan NFDP dilaksanakan dengan lebih efektif dan profesional.
Ia juga sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa dan menjamin kebajikan atlet muda negara.
Program ini dipantau melalui tiga jawatankuasa utama bagi memastikan tadbir urus yang telus dan berkesan.
Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Mohamed Taufiq Johari sebagai badan tertinggi.
Jawatankuasa kerja pula dipengerusikan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin bagi menyelaras pelaksanaan dasar serta operasi program.
MSN memaklumkan struktur pengurusan yang lebih mantap itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi.
Ia bertujuan melahirkan pemain yang bukan sahaja cemerlang di peringkat kebangsaan malah berdaya saing di pentas antarabangsa.
Langkah ini sekali gus diharap dapat memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia. – Bernama








