the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 1, 2025
22.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Polis Marin rampas 16 ekor burung bayan puling dilindungi di Kijal

Polis Marin dan Perhilitan Terengganu rampas 16 ekor burung bayan puling bernilai RM80,000 di Kijal, lelaki 34 tahun disyaki miliki tanpa lesen

CHUKAI: Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu merampas 16 ekor burung disyaki spesies bayan puling yang dilindungi sepenuhnya dalam operasi di sebuah premis di Jalan Pantai Lorong Penunjuk Indah, Rumah Murah, Kijal, dekat sini, semalam. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3, ACP Zulafendi Hassan berkata burung itu dirampas hasil pemeriksaan bersama pegawai penguatkuasa Perhilitan dan empat pegawai Unit Risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin Kuala Terengganu pada pukul 3 petang.

Katanya nilai keseluruhan rampasan burung yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dianggarkan sebanyak RM80,000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki Melayu tempatan berusia 34 tahun mengaku memiliki kesemua hidupan liar tersebut dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit khas daripada Perhilitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambabh tindakan memiliki, menyimpan atau memperdagangkan hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman berat.

“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti seumpama ini kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam kelestarian alam sekitar dan keseimbangan ekosistem,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemburuan, pemilikan atau perdagangan hidupan liar secara haram kepada pihak berkuasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan usaha pemuliharaan hidupan liar terus diperkasa.

Orang ramai boleh menghubungi talian 09-5137726 atau emel gerakanw3@gmail.com untuk menyalurkan maklumat. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories