Polis Perak giat mengesan suspek kes tembak dan tikam anggota di Simpang Pulai, dipercayai kini berada di luar negara, dengan bantuan Interpol
IPOH: Polis masih giat mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes menembak dan menikam seorang anggota di Simpang Pulai.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata suspek terbabit dipercayai kini berada di luar negara.
Usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan secara berterusan dengan kerjasama Bukit Aman serta beberapa agensi berkaitan.
“Siasatan terhadap kes berkenaan masih diteruskan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan bagi menjejaki suspek yang kini dalam tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya (OPS Kerja) Tahun 2025 di Unisem Ipoh.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisam berkata anggota polis yang mengalami kecederaan akibat ditembak telah dipindahkan ke Sarawak atas faktor kebajikan.
“Pihak polis akan terus komited menjalankan siasatan sehingga suspek berjaya dikesan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata pihaknya mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek.
Dalam kejadian itu, polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan pada bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek. – Bernama







