Polis Shah Alam mohon bantuan orang ramai kesan pasangan remaja lelaki dan perempuan berusia 17 dan 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak 5 Januari.
SHAH ALAM: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata P. Shaswin, 17, dan A. Jesitha, 14, kali terakhir dilihat di Taman Alam Megah.
Mereka dipercayai menaiki motosikal jenis Honda Wave bersama-sama dan membawa beg galas.
Polis menerima laporan kehilangan daripada ibu bapa kedua-dua remaja pada Selasa.
Siasatan awal mendapati mereka keluar dari kediaman masing-masing di Seksyen 33, Shah Alam pada lebih kurang 10.30 pagi.
“Remaja perempuan itu dipercayai keluar mengikut teman lelakinya berumur 17 tahun itu tanpa membawa telefon bimbit,” kata Ramsay.
Beliau menambah pasangan lelaki itu membawa telefon bimbit namun gagal dihubungi.
Ramsay berkata lelaki tersebut merupakan pekerja sebuah syarikat kurier.
Keluarga memaklumkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham dan mereka dipercayai keluar atas hubungan pasangan kekasih.
Sehingga kini kedua-dua mangsa masih gagal dihubungi dan belum pulang ke rumah.
Individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628.








