Timbalan Ketua Polis Negara berkata pemantauan ajaran sesat penting bagi mencegah ia berkembang menjadi fahaman ekstrem yang ancam keselamatan negara
GEORGE TOWN: Polis memantau rapat kumpulan ajaran sesat di negara ini bagi mengekang ia daripada berkembang menjadi fahaman ekstrem yang boleh mengancam keselamatan awam dan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pemantauan berterusan penting untuk memastikan fahaman itu tidak melintasi garisan keselamatan.
“Ada pihak mengatakan kenapa pihak polis mahu mengambil berat tentang ajaran sesat kerana beranggapan ia bukan isu polis, tetapi mereka tidak faham bahawa sebenarnya bermula daripada ajaran sesat, boleh berkembang kepada fahaman ekstrem kemudian terlibat dalam aktiviti keganasan, militan dan sebagainya,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan pencegahan awal perlu diambil sebelum sesuatu insiden berlaku.
Ayob Khan berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai acara kayuhan basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di Queensbay.
Beliau mengulas kritikan pihak tertentu yang mempersoalkan usaha polis dalam memantau hal berkaitan ajaran sesat.
Walaupun ajaran sesat pada peringkat awal berada di bawah bidang kuasa Jabatan Agama, polis tetap menjalankan pemantauan melibatkan aspek keselamatan sebagai langkah pencegahan.
Ayob Khan menekankan kerjasama erat yang telah lama dijalin dengan kerajaan negeri, Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam negeri-negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau berkata pengalaman lepas membuktikan ajaran sesat mampu berkembang menjadi gerakan ekstrem sekiranya tidak dipantau lebih awal.
“Seperti kumpulan Jemaah Islamiah (JI), mereka bermula dengan ajaran sesat. Sejak memasuki Malaysia sekitar 1985, kumpulan itu mengembangkan ideologi ekstrem sehingga akhirnya terlibat dalam kegiatan keganasan dan militan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kebanyakan kumpulan ajaran sesat yang dipantau ketika ini melibatkan rakyat tempatan.
Ideologi yang dibawa oleh kumpulan itu bagaimanapun dipengaruhi fahaman dari luar negara.
Sebelum ini, Ayob Khan mendedahkan sebanyak 14 ajaran yang difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini.
Lapan daripada ajaran sesat tersebut berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
Sejak 1950 hingga kini, sebanyak 154 ajaran telah difatwa sebagai sesat.
Sebanyak 114 daripadanya dikenal pasti serta diberi tumpuan oleh Cawangan Khas PDRM.
Antara ajaran yang diberi perhatian ialah Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.








