Polis dan Perhilitan Perak perketat kawalan di sekitar Chemor selepas penemuan harimau, tutup kawasan rekreasi dan nasihat penduduk berhati-hati.
TAPAH: Polis dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mempertingkatkan kawalan di sekitar Bukit Bangkong, Tanah Hitam di Chemor.
Langkah itu susulan penemuan harimau di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata langkah itu bagi memastikan pihak yang tidak berkepentingan seperti pemburu haram tidak memasuki kawasan tersebut.
“Kita akan memastikan rondaan akan terus dibuat dengan kerjasama Perhilitan untuk mastikan kawasan itu bebas daripada pihak yang tiada kepentingan atau keperluan di situ,” katanya.
Beliau berkata kawasan Bukit Bangkong dan persekitarannya masih ditutup daripada sebarang aktiviti riadah.
Polis menasihatkan penduduk supaya berhati-hati, terutamanya di kawasan Chemor, Tanah Hitam dan Changkat Kinding.
“Kita bimbang harimau itu (berlegar-legar) sampai ke sana,” katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau.
Insiden itu mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang di Bukit Bangkong pada Jumaat lepas.
Seorang lelaki memaklumkan dia menjumpai dua ekor lembu miliknya mati dengan kesan gigitan.
Beberapa ternakan lain tidak dapat dikesan.







