Empat individu termasuk wanita warga asing ditahan dalam dua serbuan di George Town, dengan dadah pelbagai jenis dirampas untuk siasatan Seksyen 39B.
GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM2 juta.
Serbuan di sekitar bandar raya ini dilakukan antara 1 petang semalam hingga 2 pagi ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita asing yang dipercayai bertindak sebagai ‘runner’.
Hasil soal siasat membawa polis ke sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan sama.
Pemeriksaan menemui beg berzip mengandungi 156 peket plastik berisi serbuk disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2,507 gram.
Turut dirampas ialah beg kuning mengandungi 118 peket MDMA seberat 2,323 gram.
Polis juga merampas beg ‘Blackout’ berisi 64 peket ‘Cadbury’ disyaki MDMA seberat 2,140 gram.
Satu lagi beg putih mengandungi 203 peket plastik disyaki MDMA seberat 2,723 gram turut diambil.
Sebuah kotak ‘Tang’ turut ditemui mengandungi 120 peket ‘Lychee’ berisi serbuk disyaki MDMA seberat 2,458 gram.
Rampasan lain termasuk 41 peket serbuk putih disyaki ketamin seberat 51.40 gram.
Polis juga merampas satu peket mengandungi 30 biji pil disyaki ekstasi seberat 12.60 gram.
Satu papan aluminium foil berisi 10 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 3.30 gram turut dirampas.
Soal siasat lanjut membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan yang juga dipercayai sebagai ‘runner’.
Azizee memaklumkan sindiket itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Julai tahun lepas.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan lebih 50,000 orang,” katanya.
Saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah.
Semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua empat suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.








