Polis Negeri Sembilan rakam keterangan 18 saksi kes letupan IED di Desa Palma, Nilai. Suspek 62 tahun masih dirawat, motif belum dipastikan
SEREMBAN: Polis telah merakam keterangan 18 saksi setakat ini berhubung kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kesemua saksi termasuk orang awam dan pasukan perubatan dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil saksi lain untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Motif kejadian masih belum dipastikan, dan suspek yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini,” katanya.
Alzafny menambah suspek berusia 62 tahun itu masih lemah namun dilaporkan stabil dan akan disoal siasat hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan kes itu.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Alzafny berkata suspek ditahan di Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang 27 Disember dengan kesan melecur.
Suspek ditahan reman selama seminggu hingga 3 Januari depan untuk siasatan lanjut.
Beliau juga berkata suspek bergerak secara sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau gengsterisme.
Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti di rumah sewanya.








