Saturday, November 22, 2025
22.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Polis serbu sarang dadah dalam hutan Bintangor, tahan 15 lelaki

Polis serbu sarang dadah lengkap kawat berduri di hutan Bintangor, tahan 15 lelaki dengan 14 positif dadah metamfetamina dan amfetamina

BINTANGOR: Polis menahan 15 lelaki dalam serbuan di kawasan hutan Jalan Hing Kwong, Kelupu yang menjadi sarang aktiviti jual beli dadah.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata serbuan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah itu dilakukan semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warga tempatan berusia 19 hingga 40 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 38 tahun.

“Ujian air kencing mendapati 13 lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan yang negatif dadah telah dilepaskan.

Semakan rekod lampau mendapati tujuh daripada mereka pernah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semasa serbuan, penjual dadah berjaya melarikan diri dari lokasi tersebut.

Polis menemui dua pondok di kawasan itu yang dipercayai menjadi tempat berehat dan menunggu penagih mendapatkan bekalan.

Tansli berkata hasil pemeriksaan di pondok menemui beberapa straw kosong tetapi tiada dadah dijumpai.

“Pengedar dadah memasang kawat berduri di bahagian hadapan bagi menyukarkan dan melambatkan pihak polis membuat serbuan,” katanya.

Beliau menjelaskan kawat berduri itu memberi peluang kepada pengedar melarikan diri dengan cepat.

Polis percaya urusan jual beli dadah hanya dilakukan melalui ruang pagar kayu yang dilengkapi kawat berduri.

Pagar kayu itu menghalang penagih daripada memasuki bahagian dalam sarang dadah berkenaan.

Tansli berkata pihaknya akan mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa.

Operasi bertujuan mengekang dan membendung gejala dadah di Daerah Meradong sehingga ke peringkat akar umbi.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di Meradong kepada polis melalui talian 084-693 222. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories