Polis JB Utara siasat kes lantai rumah di Taman Universiti terbakar, dipercayai angkara Ah Long, di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan
JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat kejadian lantai sebuah rumah terbakar di Taman Universiti, Skudai, yang dipercayai angkara pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Azrol Anuar Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun pada pagi Sabtu lepas.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4.18 pagi, dengan pengadu menemui lantai luar rumahnya terbakar serta serpihan kaca dan satu nota.
“Pengadu memaklumkan menyedari lantai luar rumahnya terbakar selain menemui serpihan kaca serta satu nota yang dipercayai dilempar suspek,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau bahan letupan.
Jika disabitkan kesalahan, sabitan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menyalurkannya segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara. – Bernama







