Kerajaan negeri Pulau Pinang setuju tingkat rebat cukai tanah daripada 32.5% kepada 50% bagi 2026 untuk ringankan beban pemilik tanah.
GEORGE TOWN: Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang bersetuju meningkatkan rebat cukai tanah bagi tahun 2026 kepada 50%.
Rebat itu dinaikkan daripada kadar sebelumnya iaitu 32.5% bagi meringankan beban pemilik tanah.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemberian rebat itu tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, sekiranya amaun cukai tanah selepas rebat diberikan lebih rendah daripada amaun cukai tanah sedia ada yang telah dibayar pada tahun sebelumnya, maka amaun cukai tanah sedia ada akan diguna pakai,” jelasnya.
Beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah dan keperluan hasil negeri.
Chow berkata permohonan rayuan pengurangan cukai tanah dan tunggakan boleh dipertimbangkan melalui mekanisme rayuan di pejabat tanah.
Pertimbangan rayuan turut merangkumi pemilik tanah First Grade yang terkesan akibat perubahan kadar berdasarkan kegunaan semasa.
Mekanisme rayuan itu disediakan sebagai saluran kepada pemilik tanah yang terkesan secara signifikan akibat pelaksanaan kadar baharu cukai tanah.
Chow berkata bil cukai tanah akan diposkan kepada semua pemilik tanah pada pertengahan Januari depan.
Namun, semakan dan bayaran bil cukai boleh dibuat secara dalam talian bermula 2 Januari.
Kerajaan negeri juga bersetuju memberi pengecualian bayaran denda ke atas tunggakan cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100% mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
Pengecualian itu melibatkan tunggakan denda berjumlah RM25 juta.
Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan pengkelasan tanah desa ke bandar bagi seluruh Pulau Pinang pada 19 September lepas.
Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah tersebut melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang.








