Kerajaan Pulau Pinang perhebat operasi bersepadu dan program dakwah bagi menangani kegiatan songsang yang bercanggah dengan ajaran agama
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang akan terus memperhebat usaha penguatkuasaan bagi membendung kegiatan tidak bermoral termasuk aktiviti songsang melibatkan umat Islam.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu yang bercanggah dengan ajaran agama.
“Perkara sedemikian juga berlaku di Pulau Pinang dan bahagian penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang sentiasa cakna untuk membanteras perkara mungkar,” katanya.
Beliau berkata operasi secara bersepadu sentiasa dibuat dengan pihak polis dan akan diperhebat lagi bagi memastikan perkara ini ditangani dengan lebih tegas.
Mohamad mengulas usaha kerajaan negeri menangani isu aktiviti songsang susulan tangkapan di Bandar Perai Jaya kelmarin.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata jabatan itu turut melaksanakan program dakwah dan kaunseling sebagai pendekatan pendidikan.
Program itu bertujuan memulihkan golongan terlibat untuk kembali kepada kehidupan normal selaras dengan tuntutan agama.
“Terdapat dalam kalangan mereka yang kembali sedar selepas diberi kaunseling dan pendekatan agama,” katanya.
Polis menahan 13 lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan luar tabii dalam serbuan di Bandar Perai Jaya pada 29 November lepas.
Daripada 13 yang ditahan, 11 daripadanya pelanggan premis terdiri daripada sembilan lelaki tempatan dan dua warga asing berumur 19 hingga 66 tahun.
Dua lagi tangkapan ialah pekerja dan pemilik premis berumur 57 dan 59 tahun. – Bernama







