Polis tahan remaja 17 tahun kali keempat kerana tunggang motosikal tanpa lesen dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya DUKE, Sentul.
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan untuk kali keempat kerana menunggang motosikal tanpa lesen dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE, Sentul awal pagi tadi.
Remaja dari Wangsa Maju itu mengakui pernah disaman tiga kali sebelum ini dan terpaksa bekerja di sebuah restoran untuk membayar saman terdahulu berjumlah kira-kira RM900.
Dia yang ditahan dalam perjalanan ke rumah rakannya di Sentul memaklumkan sedang dalam proses mendapatkan lesen pada penghujung bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata operasi khas itu dijalankan susulan aduan penduduk mengenai kegiatan samseng jalanan dan gangguan bunyi bising motosikal.
“Kegiatan lumba haram di kawasan itu dikesan aktif sejak tahun lepas, khususnya pada hujung minggu dengan jarak perlumbaan sekitar 1.8 kilometer,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan penunggang yang terlibat adalah dari sekitar Lembah Klang termasuk Gombak, Kajang dan Cheras.
Operasi itu dijalankan bermula 9 malam hingga 5 pagi melibatkan 10 pegawai dan 106 anggota JSPT dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan konsesi Lebuhraya DUKE.
Mohd Zamzuri berkata dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya telah melakukan 40 tangkapan di kawasan itu di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lebuhraya DUKE, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Laut dikenal pasti sebagai kawasan ‘litar haram’ kumpulan penunggang ini.
Pada masa sama, pihaknya turut melaksanakan operasi di Jalan Ipoh-Chow Kit, Jalan Ipoh-Sentul dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pemeriksaan terhadap 450 motosikal dalam operasi keseluruhan mendapati sebanyak 83 motosikal disita dan enam individu ditahan.
Seorang penunggang dikesan positif dadah jenis methamphetamine di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kebanyakan motosikal itu didapati diubah suai termasuk penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi, ketiadaan brek serta ekzos bising,” katanya.
Kebanyakan penunggang berusia antara 16 hingga 19 tahun, malah ada yang seawal 14 tahun.
Beliau menasihati ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya.








