Pengarah kejurulatihan Rexy Mainaky berkata tekanan pada saat genting dan kurang keyakinan punca Aaron-Wooi Yik tewas di final Terbuka Malaysia.
KUALA LUMPUR: Tekanan pada saat-saat genting menyebabkan beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuat keputusan kurang tepat dalam final Terbuka Malaysia 2026.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae lebih berpengalaman mengendalikan situasi kritikal.
Beliau mengakui kepintaran Seung Jae dalam mengawal permainan menunjukkan keyakinan mental menjadi perbezaan utama.
“Dalam pertemuan terakhir, Aaron-Wooi Yik menang dan tahap mereka tidak jauh beza, cuma dari segi keyakinan dalam situasi tertentu, pasangan Korea Selatan lebih berpengalaman,” katanya di Axiata Arena.
Rexy memberi contoh ketika mata 19-18 di set ketiga di mana Aaron teragak-agak antara pukulan kuat atau tolakan.
“Akhirnya bulu tangkis keluar,” katanya.
Beliau memuji Seung Jae sebagai perancang utama yang bijak meneutralkan situasi.
Aaron-Wooi Yik tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada pasangan nombor satu dunia itu dalam pertarungan selama 66 minit.
Kekalahan itu mengekalkan kemarau 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij tersebut.
Rexy berkata anak buahnya turut berdepan masalah konsistensi pada set pertama.
“Rancangan kita adalah untuk menyekat pasangan Korea Selatan daripada menguasai depan jaring, tetapi itu tidak menjadi di set pertama,” katanya.
Beliau berkata rancangan itu hanya berkesan pada set kedua.
Defisit awal 11-4 pada set ketiga sukar dikejar dengan beregu Korea Selatan mengawal permainan.
Pasukan Korea memaksa Aaron-Wooi Yik lebih banyak bermain dari belakang gelanggang.
Ditanya mengenai hanya satu wakil Malaysia di final Super 1000, Rexy meminta semua pihak tidak membandingkan pasangan.
Beliau berkata setiap pasangan mempunyai tahap dan kekuatan berbeza.
“Pengalaman Aaron dan Wooi Yik dalam mengendalikan situasi permainan jauh mengatasi pasangan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun,” katanya.
Rexy menegaskan memiliki banyak pasangan tidak automatik menjamin kejayaan di kejohanan Super 1000.
“Semua pemain terbaik beraksi,” katanya.








