Zambry kata saranan Pemuda UMNO dari konvensyen khas akan dibawa ke Majlis Tertinggi untuk pertimbangan, keputusan dibuat secara kolektif
MANJUNG: Sebarang saranan atau gesaan yang dibuat pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO akan dibawa untuk pertimbangan Majlis Tertinggi UMNO.
Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pandangan yang disuarakan sayap parti itu adalah hak mereka.
Beliau menegaskan sebarang keputusan berkaitan hala tuju UMNO dibuat melalui struktur parti yang telah ditetapkan.
“Itu pandangan Pemuda, sepertimana yang disebutkan Ketua Pemuda (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) semalam, apa pun sebarang pandangan itu akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi.”
“Jadi beliau tahu bahawa apa pun desakan dan langkah-langkah ataupun syor yang dibuat oleh mereka akan serahkan kepada pihak lebih tinggi, iaitu di peringkat Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita.
Zambry berkata proses membuat keputusan dalam parti dilaksanakan secara kolektif dan matang.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan bantuan kepada 1,350 pelajar di bawah program Back to School di Manjung hari ini.
Konvensyen Khas Pemuda UMNO berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Konvensyen itu antara lain bertujuan membincangkan mengenai hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.








