Mahkamah Tinggi arah sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong, bayar USD2.8 bilion dan kakaknya, Low May Lin, bayar USD809,319 kepada 1MDB berikutan penghakiman ingkar.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Eric Tan Kim Loong, sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, membayar USD2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya.
Hakim Mahazan Mat Taib turut memerintahkan kakak Jho Low, Low May Lin, membayar USD809,319 kepada 1MDB selepas membenarkan penghakiman ingkor terhadap kedua-dua defendan.
Mahkamah turut mengisytiharkan kedua-dua defendan sebagai pemegang amanah konstruktif bagi pihak 1MDB terhadap wang yang mereka terima.
Mereka bertanggungjawab memulangkan kesemua wang yang dianggap sebagai keuntungan rahsia yang diperoleh daripada penipuan terhadap plaintif.
Hakim memutuskan bukti berdokumen menunjukkan Tan adalah pemilik manfaat bagi akaun Alsen Chance and Blackstone yang menerima aliran wang dialih secara salah daripada 1MDB berjumlah USD2,795,333,000.
“Eric Tan adalah kenalan rapat Jho Low dan berperanan sebagai saluran penting dalam proses pengubahan wang haram dan penyaluran dana yang dicuri,” katanya.
Hakim menambah sifat, magnitud dan corak pemindahan wang itu menjadikan sebarang dakwaan penerimaan secara tidak bersalah adalah sama sekali tidak munasabah.
Keterangan lanjut menunjukkan May Lin menerima USD809,319 secara terus dalam akaun peribadinya melalui empat pemindahan daripada bapa Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng.
“Kesemua pemindahan ini lebih kepada bersifat hadiah tanpa sebarang asas komersial serta berpunca daripada dana yang diseleweng melalui struktur Good Star Limited,” katanya.
Hakim menyatakan sebagai kakak Jho Low, peranan May Lin sebagai penerima manfaat peribadi dana yang diseleweng ini jelas selari dengan corak penyembunyian berasaskan keluarga.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos sebanyak RM500,000 secara bersama dan berasingan kepada plaintif.
1MDB dan empat anak syarikatnya memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan pada 2021.
Tiga saksi plaintif memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sehari pada 6 Oktober lepas.
Kedua-dua defendan gagal memasukkan kehadiran, memfailkan pembelaan atau menghadiri prosiding perbicaraan walaupun segala dokumen berkaitan telah diserahkan.







