the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
32.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Selangor cadang kerajaan guna 5.0 peratus daripada hasil cukai korporat bangunkan PKS di negeri

KUALA LUMPUR: Selangor mencadangkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan lima peratus daripada hasil tahunan cukai korporat untuk diagihkan kepada setiap negeri berdasarkan pencapaian dalam membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor berkata cadangan itu disuarakannya kerana program pembangunan PKS tidak boleh ditumpukan di peringkat nasional sahaja.

“Apa salahnya, tiap-tiap tahun kerajaan ‘mencubit’ sekurang-kurangnya lima peratus ini bersamaan RM5.32 bilion daripada kutipan hasil cukai korporat iaitu sebanyak RM106.42 bilion pada 2023.

“Pihak negeri harus dipertanggungjawabkan untuk membangunkan PKS kerana membangunkan sektor ini secara tidak langsung kita akan dapat membangunkan ekonomi dan mampu menjadi penampan masalah yang mungkin kita hadapi,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata negara juga perlu memperkukuh persaingan bagi meneroka peluang untuk menjadi pemimpin ekonomi terutama di Asean, bukan menjadi sekadar ‘feeder’ kepada negara lain.

“Saya berpandangan terdapat sekurang-kurangnya dua ruang yang Malaysia mempunyai kelebihan dan menjadi rujukan di rantau ini, iaitu dalam aspek penghasilan tenaga terutama dari sumber boleh baharu serta menjadi negara pertama di Asia yang mempunyai kelengkapan latihan bernilai tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET).

“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus mempunyai satu ekosistem inovasi dengan membina Sistem Inovasi Nasional,” katanya.

Menyentuh isu ringgit, beliau berkata ruang perlu diberikan kepada kerajaan untuk mengatasi isu yang mengekang pengukuhan mata wang tempatan yang kini menunjukkan sedikit pemulihan.

“Dalam dua taklimat yang saya hadiri bersama institusi perbankan, secara konsisten, institusi perbankan tersebut menganggarkan nilai ringgit boleh mencapai angka sekitar RM4.4 sehingga RM4.2 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini,” katanya.

Beliau turut yakin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 3.00 peratus, akan dapat mengurangkan tekanan inflasi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan daripada PH, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berharap projek jalinan infrastruktur di negeri tu khususnya jalan raya, perkhidmatan pengangkutan dan bekalan air serta elektrik dapat dipertingkatkan.

Ini bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan pelabur dan perdagangan negara, katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang merekodkan RM71.9 bilion pelaburan diluluskan pada 2023 menjadikannya destinasi pelaburan paling utama di Malaysia, diikuti Wilayah Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

“Ini menunjukkan para pelabur masih yakin dengan Malaysia khasnya Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelaburan unggul.

“Sebagai sebuah negeri kecil, Pulau Pinang juga kekal sebagai pengeksport utama di Malaysia pada Disember 2023 dengan menyumbang 31.5 peratus daripada jumlah eksport negara,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan prestasi itu, Pulau Pinang memohon Projek Air Perak-Pulau Pinang disegerakan dan berharap perjanjian projek itu dapat dimeterai dan dapat dilaksanakan tahun ini. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings