the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, December 18, 2025
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Selangor lancar projek fiberisasi Cyberjaya sebagai tulang belakang digital negeri

Kerajaan Selangor mulakan Projek Fiberisasi-Cyberjaya sepanjang 41.1 km sebagai fasa awal pembinaan rangkaian gentian optik milik negeri 889 km.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memulakan langkah strategik memperkukuh infrastruktur digital negeri menerusi pelaksanaan Projek Fiberisasi-Cyberjaya.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek gentian optik bawah tanah berkapasiti tinggi sepanjang 41.1 kilometer itu diterajui oleh SmartSel Sdn Bhd dengan kerjasama OCK Group Berhad.

Beliau menyifatkan projek itu sebagai keperluan asas setara dengan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Projek fiberisasi ini merupakan keperluan masa kini dan hadapan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital,” katanya.

Projek berkenaan merupakan fasa awal pembentukan Selangor Dark Fiber Network sepanjang 889 km yang bersifat terbuka, neutral dan berkelajuan tinggi.

Amirudin berkata inisiatif ini akan menjadi asas kepada pembangunan rangkaian gentian optik negeri yang lebih strategik, inklusif dan berorientasikan kepentingan awam.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek serta pemeteraian perjanjian antara SmartSel dan OCK Datawave Sdn Bhd.

Projek Fiberisasi-Cyberjaya dijangka siap dalam tempoh enam bulan sebelum diperluaskan ke Shah Alam melibatkan jajaran 178 km.

Kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan jaringan fiberisasi komunikasi sepanjang 889 km siap dalam tempoh tiga tahun.

Pelaksanaan jaringan itu akan memastikan infrastruktur digital negeri berada pada tahap optimum sebagai tulang belakang pembangunan negeri pintar.

“Untuk menjadi sebuah smart state, faktor paling penting ialah keterhubungan Internet, khususnya melalui fiberisasi dan kepantasan,” jelas Amirudin.

Keseluruhan projek dianggarkan melibatkan kos antara RM500 juta hingga RM800 juta menerusi kerjasama strategik dengan syarikat swasta.

Projek ini mendapat sokongan pendanaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mengulas kerja pengorekan, Amirudin berkata proses itu tidak dapat dielakkan namun gangguan akan diminimumkan dengan memanfaatkan jajaran sedia ada.

Beberapa syarikat utiliti mempunyai infrastruktur gentian optik sendiri untuk kegunaan dalaman yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama.

“SmartSel telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pelaksanaan projek ini secara menyeluruh,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories