Polis Muar tahan sembilan keldai akaun penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian mangsa mencecah RM781,000
MUAR: Polis menahan sembilan individu yang berperanan sebagai keldai akaun penipuan dalam talian.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan semalam bagi menangani kes yang mengakibatkan kerugian mangsa melebihi RM781,000.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata suspek menyerahkan kad ATM dan butiran perbankan kepada sindiket.
Maklumat perbankan itu kemudian digunakan sebagai medium untuk menerima wang hasil penipuan daripada mangsa.
Kesemua sembilan suspek merupakan warga tempatan berusia antara 24 hingga 59 tahun.
Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.
“Siasatan awal mendapati aktiviti penipuan dalam talian oleh sindiket bersama keldai akaun ini berlaku antara Disember 2024 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan rangkaian sindiket yang terlibat.








